OKU, Bantulah kami

by Azhar73 May. 05, 2009 8843 views

OKU, Bantulah kami..

Sabtu, 2 May 2009
Kelana Jaya,
Selangor, Malaysia

Namun Ku Punya Hati

senyum ku tak seghairah,
gerak gaya tidak selincah'
mataku tak seayu,
kicau burung pun tak semerdu.

namun ku punya hati,
juga gayaku perasaan,
hidupku yg begini,
kadar waktu diizin tuhan.

tidak ku minta lahir ke dunia,
tidak ku duga cacat begini.
bukan ku minta kasih dan manja,
bukan ku rayu bantu simpati.

maafkan wahai teman,
ku menumpang di sudut dunia,
mencari ketenangan,
sampai masa ku pergi jua.

**************************************************

Foto oleh :

Azhar A Rahim
+6019 264 2844
[email protected]

Mohd Firdaus Bin Azizan, 26 tahun.

Menurut Mohd Firdaus, kecacatan yang di alaminya atau di sebut Cerebral Palsey berpunca dari demam panas yang menimpa beliau ketika berumur 1 tahun. Keadaan ini menyebabkan beliau mengalami kekejangan otot yang kekal.

Berasal dari Temerloh, Pahang dan mengambil keputusan berhijrah ke Selangor untuk berdikari. Pada peringkat awal, beliau pernah mengambil Kursus Vokasional dari sebuah institusi khas untuk OKU di Seksyen 14 USJ dalam bidang komputer. Namun nasib tidak menyebelahi beliau kerana tidak ada majikan yang bersedia mengambil beliau bekerja lantaran fizikal dan pergerakan beliau yang agak terhad dan masalah pertuturan yang agak kurang lancar dan tidak jelas.

Beliau yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Selangor menerima bantuan kewangan sebanyak RM300 sebulan. Selain bantuan dari JKM, beliau juga bekerja dengan menjual barangan harian untuk menampung keperluan harian beliau seperti sewa rumah, teksi dan sebagainya.

Ketika beliau ditemu bual, didapati kebanyakkan orang ramai yang lalu lalang lebih gemar menghulurkan derma dari membeli barangan yang dijual oleh beliau.

Antara barangan yang dijual oleh Mohd Firdaus. Beliau juga meletakkan nota dan surat dari JKM bagi mengelakkan orang ramai syak wasangka terhadap beliau yang mungkin digunakan oleh pihak tertentu untuk memungut derma.

Buat masa ini Mohd Firdaus sedang berusaha mengumpulkan sumbangan orang ramai dan mengharapkan juga bantuan dari pihak-pihak tertentu untuk mendapatkan kerusi roda elektrik atau membaiki kerusi rodanya yang telah rosak.

Dalam fizikal beliau yang seperti ini, adalah mustahil baginya untuk menyorong kerusi rodanya sendiri. Oleh itu, sumbangan dari orang ramai yang diperolehinya juga digunakan untuk menggaji pembantu yang dapat menguruskan dirinya setiap hari.

Selain itu juga, sumbangan yang diterima digunakan untuk pengangkutan sehari-harian khasnya teksi yang memerlukan belanja sekitar RM50 sehari bagi membawa beliau dari satu tempat ke tempat yang lain pula untuk bekerja.

Mesti ada yang mengatakan beliau memiliki sejumlah wang yang agak lumayan disebabkan mampu menaiki teksi. Menurut beliau, bukan semua teksi sudi mengambil penumpang seperti beliau dan adakala para pemandu teksi mengenakan caj yang agak mahal disebabkan kerusi roda yang digunakan beliau dan barang-barang yang lain.

Perkhidmatan Bas RapidKL OKU juga seringkali enggan mengambil penumpang seperti beliau. Jadi pilihan terbaik adalah teksi.

Mohd Firdaus pernah mewakili negara dalam sukan Paralimpik peringkat antarabangsa di Korea pada tahun 2002 dalam acara Boccia, sejenis sukan seakan-akan lawn bowl dan menduduki tempat ketiga acara beregu. Dalam acara sukan inilah beliau menerima kerusi roda elektriknya yang kini telah pun rosak akibat dari penggunaan seharian-harian bekerja sambil mengutip derma.

Sehingga hari ini beliau masih lagi menanti bantuan dari JKM dan pernah menghubungi ADUN Subang Jaya Hannah Yeoh bagi mendapatkan bantuan kerusi roda elektrik yang baru.

Beginilah keadaan Mohd Firdaus setiap hari Sabtu di Pasar Tani Kelana Jaya, beliau berada disini sejak awal pagi ditemani oleh pembantunya sehingga tengahari selepas pasar tani ditutup sebelum berpindah ke satu kawasan lain pula.

Bagi yang sudi menghulurkan bantuan, Mohd Firdaus boleh di temui di Pasar Tani Kelana Jaya setiap hari Sabtu dan Pasar Tani Mega Shah Alam berdekatan Stadium Utama Shah Alam.

Anda juga boleh menghubungi beliau di 013-6661712 atau 018-2213106 atau terus menghulurkan sumbangan terus ke akaun beliau : Maybank - 1623 0253 1883

Turut menemani beliau disini ialah seorang individu OKU yang cacat penglihatan, Salehah Bt Abd Rashid.

Salehah Bt Abd Rashid, 64 tahun.

Puan Salehah hilang penglihatan sejak berumur 4 tahun yang berpunca dari demam panas. Beliau yang berasal dari Tapak, Perak kini menetap di rumah pangsa Jalan Loke Yew. Hasil perkahwinan beliau dengan arwah suami beliau yang juga insan OKU, Pn Salehah memiliki 2 orang anak yang kini telah berkahwin dan menetap di Perak.

Sungguhpun ramai ahli keluarga termasuk anak-anak melarang beliau bekerja, tapi beliau lebih suka hidup sendiri dengan alasan tidak mahu menyusahkan orang lain. Pn Salehah juga menerima bantuan dari JKM setiap bulan.

Beliau yang pernah mendapat latihan di Pusat Latihan Bagi Orang Buta, Brickfields Kuala Lumpur, pernah bekerja di sebuah syarikat antarabangsa yang terletak di Kuala Lumpur. Syarikat beliau, Hagen Meyer terpaksa memberhentikan beliau dan kakitangan lain sekitar 1990 untuk menutup operasi di Malaysia dan pulang ke negara asal.

Akibat kebosanan tinggal dirumah selepas diberhentikan kerja dan kematian suami pada tahun 1995, beliau mengambil upah membuat bunga telur dan juga mengurut.

Namun aktiviti mengurut tidak lagi dilakukan lantaran kesihatannya yang tidak mengizinkan. Beliau yang mengidap sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan paru-paru berair mengambil keputusan bekerja sendiri dengan menjual tisu sambil mengutip derma.

Kepada yang sudi menghulurkan derma bolehlah berbuat demikian dengan menhulurkan terus kepada beliau atau BSN : 14100-29-89500659-4.

Mohd Isa Ansari Bin Syariff. Insan yang banyak membantu beliau dengan menghantar dan mengambil Pn Salehah setiap hari dengan bayaran paling minima.

  Be the first to like this post
Join the conversation
0
Be the first one to comment on this post!
Up
Copyright @Photoblog.com